Home Nasional Pemimpin negeri perlu dapat kebenaran kementerian untuk lawat sekolah

Pemimpin negeri perlu dapat kebenaran kementerian untuk lawat sekolah

PULAU PINANG – Mana-mana pemimpin negeri termasuk Ketua Menteri atau Menteri Besar perlu mendapat kebenaran daripada Kementerian Pendidikan terlebih dahulu untuk mengadakan lawatan ke sesebuah sekolah.

Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Shaari Osman berkata, perkara itu adalah prosedur standard yang perlu dipatuhi semua pihak dan sudah diamalkan sejak sekian lama.

Bagi peringkat pegawai tinggi seperti Ketua Menteri atau Menteri Besar, ujar beliau, kebenaran melawat sekolah perlu diperoleh di peringkat lebih tinggi iaitu daripada Menteri Pendidikan.

“Bagi orang awam pula kebenaran mungkin hanya daripada jabatan pendidikan negeri. Ini adalah tradisi yang mana jika di peringkat lebih tinggi perlu dapat kebenaran daripada yang lebih tinggi juga.

“Kebiasaan ini adalah mustahak untuk kita menjaga kepentingan sekolah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Hwa yang menduduk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sini hari ini.

Shaari mengulas keluhan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini yang mendakwa dihalang daripada melawat sebuah sekolah Cina di Sungai Lembu, Penanti di sini bagi memberi bantuan.

Guan Eng mendakwa beliau menerima sepucuk surat daripada Jabatan Pendidikan Pulau Pinang yang memaklumkan permohonannnya untuk melawat sekolah berkenaan ditolak dan perlu mendapat kebenaran daripada Menteri Pendidikan terlebih dahulu.

Malah, Guan Eng turut melahirkan rasa tidak puas hati dan mempersoal mengapa Ketua Bahagian UMNO Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said sebelum ini dibenarkan melawat sekolah.

Ditanya mengenai dakwaan Guan Eng itu, Shaari berkata, pihaknya sudah membuat penjelasan mengenai isu tersebut sebelum ini sekali gus menganggap perkara berkenaan tidak sepatutnya terus menjadi isu. – MalaysiaGazette