KUALA LUMPUR – Selepas bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil memberikan keterangan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian Bank Negara (BNM) dalam urus niaga mata wang asing pada tahun 1990-an kini giliran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula.
Perkara itu disahkan peguamnya, Mohamed Haniff Khatri Abdulla hari ini.
Menurut Haniff, anak guamnya itu berkemungkinan menjadi saksi ke-23 yang dipanggil setelah Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dipanggil sebagai saksi ke-21 pada Khamis lalu.
Haniff bagaimanapun berkata, Mahathir sebelum itu mahu merakamkan kenyataannya sebelum hadir memberikan keterangan kepada ke suruhanjaya itu kelak.
“Semua 20 saksi sebelum ini diberi kebenaran menyediakan keterangan bertulis. Kami mahu mereka memberikan kebenaran yang sama kepada Mahathir,” kata Haniff.
Mahathir dijangka memberikan keterangan kepada panel lima ahli RCI jam 11 pagi Isnin depan.
BNM dilaporkan mengalami kerugian sekitar RM31 bilion antara 1988 hingga 1994 ekoran urus niaga mata wang asing yang dibuat oleh bank pusat itu.
Ketika itu, Dr. Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri dan Anwar selaku Menteri Kewangan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebelum ini hadir di sesi petang prosiding RCI ketika Anwar memberikan keterangan.
Sebelum ini, bekas Penolong Gabenor BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop mengaku sebagai individu yang bertanggungjawab bagi segala urusan pengendalian urus niaga mata wang asing yang dijalankan BNM. -MalaysiaGazette.