Home Nasional PPIM mahu jumpa KPDNKK isu pengusaha stesen Caltex

PPIM mahu jumpa KPDNKK isu pengusaha stesen Caltex

Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi (kanan) bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat PPIM, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 14 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi keliru dengan tindakan sebuan kementerian yang didakwa tidak mahu berbincang dalam isu berkaitan kes Chevron Malaysia Limited (CML).

Menurut Yusuf dia telah dipertanggungjawabkan oleh beberapa pengusaha stesen minyak Caltex untuk mewakili mereka berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK).

Dalam mesyuarat bersama KPDNKK dan CML pada 24 Ogos lalu, pihaknya dan pengusaha stesen minyak telah dihalang untuk menyertainya.

Yusuf menjelaskan, terdahulu Mahkamah Persekutuan telah mengarahkan pengusaha stesen minyak Caltex membayar kos Sistem Khidmat Layan Diri (SKLD) kepada CML.

Namun Yusuf merujuk kepada surat pekeliling yang dikeluarkan KPDNKK pada 26 Disember 1996 yang menyatakan kos berkenaan hendaklah ditanggung oleh pihak syarikat minyak.

“Kes ini sepatutnya KPDNKK yang mempertahankan surat mereka. Sebab itu kita di PPIM hadir nak bertanya, nak terangkan mungkin mereka tidak jelas. Sebab ini kes yang lama.

“Tujuan kita bukan untuk mengkritik KPDNKK tapi adalah untuk duduk dengan mereka dan penasihat undang-undang untuk melihat semula bagaimana surat ini telah dicabar peringkat mahkamah dan melihat keperluan adakah perlu KPDNKK untuk menyemak surat penghakiman yang bakal keluar,” jelas Yusuf.

Yusuf berharap pihak KPDNKK agar dapat memberi ruang kepada pihaknya dan pengusaha untuk berbincang isu berkenaan.

Namun jika kes berkenaan menemui jalan buntu pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.- Malaysia Gazette