Home Nasional Pusat tahfiz terbakar imbau tragedi Pondok Pak Ya

Pusat tahfiz terbakar imbau tragedi Pondok Pak Ya

KUALA LUMPUR- Suratan atau kebetulan, berita kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah pagi ini mengimbau tragedi Sekolah Menengah Agama Taufikiah Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya.

Kebetulan ulang tahun tragedi di Padang Lumat, Yan, Kedah yang ke-28 tahun ini akan jatuh lapan hari lagi.

Kebakaran membabitkan asrama puteri pondok terbabit pada 22 September 1989 mengorbankan seramai 27 pelajar.

Kejadian malang itu, berlaku pada jam 2.30 pagi berpunca dari lilin yang dipasang penghuni asrama.

Difahamkan, mereka tertidur dan lilin yang digunakan untuk menerangi ruang bilik asrama itu telah terjatuh dan membakar tilam hingga merebak dan tidak dapat dikawal.

Lapan buah blok asrama yang diperbuat daripada papan ketika itu telah musnah dijilat api.

Menurut laporan kebanyakan pelajar meninggal kerana menghidu asap tebal ketika nyenyak tidur.

Ketika kejadian pihak keluarga cuma mengetahui kejadian melalui radio.

Kesemua 27 mangsa disemadikan di tanah perkuburan khas tidak jauh dari lokasi kejadian dekat.

Tragedi berkenaan telah menggemparkan negara dan media ketika itu melaporkan keluarga mangsa mengambil masa bertahun-tahun untuk menerima kenyataan anak mereka terkorban dalam kebakaran itu.- MalaysiaGazette