Home Seni Hidup ‘Saya selalu jumpa mereka’ – Rizalman

‘Saya selalu jumpa mereka’ – Rizalman

KENANGAN. Gambar sebahagian pelajar tahfiz Ittafiqiah.

KUALA LUMPUR – Kematian 25 penuntut Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah akibat kebakaran awal pagi ini cukup memberi kesan kepada ikon fesyen, Datuk Rizalman Ibrahim.

Rizalman terharu kerana selalu berjumpa dengan penuntut-penuntut itu semasa menjemput mereka bagi majlis-majlis yang diadakannya.

“Banyak nyawa terkorban akibat kebakaran subuh pagi tadi…semoga semua roh yang terkorban ditempatkan Allah SWT pada kedudukan yang setinggi-tingginya di sisiNya.

“Cukup terharu kerana anak-anak inilah yang selalu saya jumpa ketika menjemput mereka ketika adanya majlis berlangsung,” kata Rizalman menerusi Instagram beliau.

Menurutnya, pusat tahfiz itu cukup dekat dihatinya kerana anaknya, Umar Nail pernah berada di situ sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS).

Dalam kejadian itu, seramai 25 orang disahkan meninggal dunia termasuk dua orang guru manakala lima lagi dalam keadaan kritikal.

Seramai 14 orang penuntut berjaya diselamatkan bersama empat orang guru.

Mangsa-mangsa dipercayai gagal menyelamatkan diri kerana hanya terdapat satu pintu dan api sudah merebak ke kawasan tersebut. – MalaysiaGazette