KUALA LUMPUR : Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sedang dilakukan ke atas 23 mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, bagi mengenal pasti identiti mangsa.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam, proses tersebut akan mengambil masa selama beberapa hari.
“Untuk kenalpasti identiti mangsa, ada keperluan untuk menjalankan DNA.
“Kebakaran begitu teruk di mana susah kita nak memastikan identiti mereka. Untuk tentukan identiti mereka, pemeriksaan DNA sedang dibuat dan itu sedang berlaku di Unit Forensik,” katanya kepada pemberita di HKL hari ini.
Tambahnya, proses pengambilan sampel daripada ibu bapa mangsa juga sedang dijalankan bagi tujuan tersebut.
“Untuk tentukan siapa identiti mereka,” katanya ketika ditanya berkenaan pengambilan sampel keluarga.
Subramaniam turut mengesahkan sehingga pukul 4 petang, masih belum ada mangsa yang sudah dikenal pasti identitinya.
Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk bertemu dengan keluarga mangsa nahas yang berada di Institut Perubatan Forensik. – MaaysiaGazette