Home Nasional Dakwaan unsur khianat, jangan buat spekulasi – Jamil Khir

Dakwaan unsur khianat, jangan buat spekulasi – Jamil Khir

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hadir untuk melihat tempat kejadian di sekitar kawasan tahfiz berikutan kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini mahu orang ramai jangan membuat sebarang spekulasi berhubung punca kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung yang telah mengorbankan 23 nyawa pelajar semalam.

Menurutnya, sebarang keputusan mengenai punca kejadian hanya akan diketahui selepas siasatan selesai dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak forensik dalam mengenalpasti punca sebenar.

“Kita serahkan dahulu pada forensik untuk selidik bangunan,” katanya semasa ditemui ketika melawat tapak kejadian di sini hari ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bercakap kepada media selepas melawat Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 SEPTEMBER 2017.

Mengenai spekulasi penemuan tong gas dan kemungkinan wujudnya unsur khianat dalam tragedi tersebut, beliau berkata;

“Hari ini kita jangan pergi spekulasi dulu. Kita selesaikan urusan fakta dihadapan. Itu spekulasi sahaja, biar bomba ,forensik dan polis jalankan tugas. Dan dapat semua daripada rumusan forensik hari ini,” jelasnya lagi.

Dalam tragedi semalam, seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu terkorban dalam kebakaran pada 5.15 pagi tadi.

Kesemua mangsa ditemui rentung di tingkat atas pusat tahfiz berkenaan yang didiami oleh 36 penuntut dan enam orang guru.

Selain itu, seramai 14 pelajar yang terselamat kini berada di HKL dimana dua daripadanya berada di zon merah dan tiga di zon kuning.

Sejak tahun 2011, sebanyak 31 kes kebakaran terjadi di sekolah tahfiz berlaku dengan jumlah kerugian berjumlah RM1.4 juta. -MalaysiaGazette.