KUALA LUMPUR – Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung hari ini terus jadi tumpuan orang ramai walaupun sudah hari kedua kejadian kebakaran mengorbankan 23 pelajar tahfiz termasuk dua guru mereka semalam.
Tinjauan Malaysia Gazette mendapati, orang ramai tidak putus-putus datang bagi menyatakan rasa simpati selain menghulurkan bantuan.
Kawasan ini turut menjadi tumpuan lebih 50 para pengamal media dan wartawan yang menjadikan premis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sebagai tempat berkumpul.
Malah, para wartawan yang membuat liputan turut diberikan bekalan makanan dan minumannya oleh PPIM.
Bagaimanapun, premis yang sama masih lagi dikawal ketat pihak berkuasa sejak awal pagi lagi.
Malah jalan menuju ke Darul Quran turut ditutup untuk laluan kenderaan awam.
Difahamkan, Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhamad V akan mencemar duli melawat kawasan kejadian petang nanti.
Semalam, Darul Quran menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk menteri, NGO dan orang perseorangan yang ingin mendapatkan maklumat terkini mengenai kejadian.
Awal pagi semalam, seramai 23 pelajar termasuk dua guru maut disebabkan Darul Quran mengalami kebakaran yang tidak diduga.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman, hasil siasatan pihaknya mendapati kebakaran di pusat tahfiz itu bukan berpunca daripada litar pintas.
Malah katanya, pihaknya percaya terdapat unsur lain dari luar bangunan yang menyebabkan kebakaran tersebut berlaku dan siasatan terperinci berpandukan ujian makmal sedang dijalankan. -MalaysiaGazette.