Home Seni Hidup Difitnah tipu bina rumah, Boy Iman buat laporan polis

Difitnah tipu bina rumah, Boy Iman buat laporan polis

KUALA LUMPUR –  Pemaju rumah mampu milik, DBI Technology (DBI) hari ini membuat laporan polis ke sebuah pengendali laman sosial media Facebook dan beberapa individu yang membuat fitnah terhadap syarikat tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Boy Iman berkata, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan pasukan keselamatan melakukan siasatan ke atas  PW Community yang didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah di laman sosial itu pada awal September lalu.

Menurut Boy Iman atau nama sebenarnya, Norul Iman Abd. Rahman, selain PW Community, beliau turut membuat laporan polis terhadap portal mStar dan stesen televisyen Al-Hijrah.

“Pihak syarikat telah mengalami kerugian maksimum disebabkan dakwaan yang tidak berasas yang berpunca daripada PW Community yang tanpa henti menuduh kami dan juga tanpa perbincangan secara profesional dengan mengatakan DBI melakukan aktiviti scam.

“Ia menyebabkan kami orang ramai memandang negative terhadap perniagaan perumahan kami hingga diugut dalam media sosial oleh ramai pemilik akaun yang tidak dikenali,” katanya.

Laporan telah dibuat di Balai Polis Ampang petang semalam.

Dalam pada itu, Norul Iman berkata, laporan turut dibuat ke atas portal mStar yang menyampaikan penulisan berbentuk menyokong kenyataan PW Community yang membuatkan orang ramai turut salah anggap dengan perniagaan kami.

Jelasnya, DBI juga kecewa dengan tindakan stesen televisyen Al-Hijrah yang membatalkan pengiklanan kami di untuk siaran iklan berbayar tanpa usul periksa dan terus mempercayai fitnah tersebut.

“Unsur-unsur ugutan terhadap DBI amat membimbangkan kerana memiliki kakitangan yang memakai pakaian korporat rasmi syarikat dan kami memohon pihak berkuasa melindungi kami dan membanteras isu jenayah sosial media ini yang semakin berleluasa.

“Kami juga memiliki bukti beberapa individu yang telah menfitnah kami,” katanya.

Pada 6 September lalu, PW Community telah mendakwa DBI dicipta hanya untuk satu tujuan sahaja, iaitu mengutip dana dan menipu orang awam di sebalik tabir dan helah Rumah Kos Rendah.

Tawaran yang diberi cukup menarik sekali, design rumah yang pada harga semasa boleh mencecah RM200,000 dijual dengan harga RM 50,000.

Jelas laman itu, tanpa membuat penilaian, masyarakat awam cukup senang terperangkap dengan pakej yang ditawarkan.

Hakikatnya DBI merupakan satu scam apabila pengendali laman itu telah mengkaji faktor-faktor secara terperinci. – MalaysiaGazette