Home Nasional Tun Hasmah sedih tragedi pusat tahfiz

Tun Hasmah sedih tragedi pusat tahfiz

Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali

KUALA LUMPUR – Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sedih dengan tragedi yang menimpa pelajar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, menggesa pihak sekolah mengambil tanggungjawab ke atas insiden yang berlaku.

Isteri bekas perdana menteri itu tidak dapat menahan rasa sebak semasa diberikan taklimat anggota polis yang bertugas dan dilihat mengesat air mata beberapa kali.

“Kita ucapkan takziah kepada ibu bapa, saudara mara, anak-anak mangsa ini.

“Anak anak ini hajat datang ke sini untuk mendapatkan ilmu agama,” katanya selepas melawat sekolah tersebut pagi ini.

Dr Hasmah berkata, insiden begini boleh dielakkan sekiranya semua pihak memainkan peranan yang baik dengan memastikan keselamatan pelajar-pelajar ini terjamin dan pihak yang menguruskan sekolah tersebut perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas tragedi yang menimpa.

“Perkara macam ini boleh dielakkan, semua pihak berkuasa menjaga anak anak.

“Pihak sekolah diserahkan anak-anak ini, mereka mesti bertanggungjawab memastikan keselamatan mereka ketika bersekolah di sini,” katanya lagi.

Dalam tragedi semalam, seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu terkorban dalam kebakaran pada 5.15 pagi tadi.

Kesemua mangsa ditemui rentung di tingkat atas pusat tahfiz berkenaan yang didiami oleh 36 penuntut dan enam orang guru.

Selain itu, 14 pelajar yang terselamat kini berada di HKL, yang mana dua daripadanya berada di zon merah dan tiga di zon kuning.

Sejak tahun 2011, sebanyak 31 kes kebakaran terjadi di sekolah tahfiz berlaku dengan jumlah kerugian berjumlah RM1.4 juta.  -MalaysiaGazette.