KUALA LUMPUR – “Saya pergi pengecaman jenazah petang tadi. Saya cam jasad arwah melalui giginya sahaja.
“Sebab muka dan badan dia dah habis kena malapetaka macam ni.
“Bila saya tengok jasadnya saya memang hiba tapi saya tahan,” ujar Mohd Nor Hadi Abu Hassan ketika ditanya proses pengecaman jenazah anaknya Ahmad Harith Adam.
Mohd Nor memberitahu minggu lalu anaknya itu ada pulang ke rumah sempena cuti umum Hari Keputeraan Agong.
Namun pertemuan dia dengan anaknya yang dipanggil Ate sangat singkat dalam anggaran 30 minit sahaja
“Masa dia nak keluar dia cakap pada saya Ate nak pergi dah,” cerita Mohd Nor.
Selepas mengucapkan perkataan itu Adam terus keluar dari rumah sebelum emaknya menegur perbuatan Adam yang tidak bersalaman dengan bapanya.
Setelah itu Mohd Nor bertanya kepada Adam tentang apa yang dikatakan.
Namun Adam sekadar membalas “Ate nak pergi makan kenduri je”
Mohd Nor memberitahu dia tidak menyangka itu adalah terakhir dia bersama anaknya itu.
Mengimbas kenangan bersama anaknya, Mohd Nor memberitahu arwah anaknya itu selalu memasak untuknya apabila dia pulang bertugas seharian sebagai polis.
“Bila saya sampai rumah dia tanya saya nak makan apa. Lepas itu dia suruh saya mandi dan sembahyang dulu. Bila saya turun semuanya dia dah siapkan,” imbau Mohd Nor mengenai arwah anaknya itu. – MalaysiaGazette