Home Nasional Penambahan pesawat beri impak positif industri pelancongan Malaysia

Penambahan pesawat beri impak positif industri pelancongan Malaysia

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Nazri Aziz (kiri) bersalaman dan beramah mesra bersama sebahagian peserta yang hadir pada Majlis Perasmian Program Keretapi Sarong #SAYANGMALAYSIA di Muzium Negera, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Sokongan Kerajaan Persekutuan untuk Malaysia Airlines membeli 16 lagi pesawat daripada Boeing akan memberi impak positif kepada kemasukan pelancong asing ke negara ini, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata, Memorandum Persefahaman pembelian masing-masing lapan pesawat 787 Dreamliner dan 737 MAX, yang baru-baru ini dimeterai antara Boeing dan MAB di Washington DC, dijangka akan membuka kembali laluan-laluan antarabangsa yang telah ditutup sebelum ini, sekali gus menjamin pertambahan pelancong asing dari Eropah dan Amerika.

“Sebagai Menteri Pelancongan adakah anda tahu bagaimana sukarnya (kepada industri pelancongan) apabila syarikat penerbangan negara terpaksa mengehadkan laluannnya sebelum ini. Masa MAS terpaksa menutup laluan mereka ke Los Angeles, Amsterdam, Frankfurt, Stockholm, dan sebagainya.

“Apa yang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) umumkan mengenai pembelian itu adalah tepat, kerana saya perlukan Malaysia Airlines untuk terbang ke mana sahaja, untuk mebawa lebih banyak mereka yang berpotensi sebagai pelancong ke negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Keretapi Sarong #SayangMalaysia Peringkat Kuala Lumpur dan Selangor, di sini hari ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Nazri Aziz bercakap pada sidang media semasa Majlis Perasmian Program Keretapi Sarong #SAYANGMALAYSIA di Muzium Negera, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 SEPTEMBER 2017.

Mohamed Nazri berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri sewaktu lawatan kerja beliau ke bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump baru-baru ini, mengenai pembelian tambahan pesawat berkenaan.- BERNAMA