Home Sukan Upacara naikkan bendera kontinjen Para ASEAN KL2017 meriah

Upacara naikkan bendera kontinjen Para ASEAN KL2017 meriah

FW628564_KL19_160917_PARA_GAMES
KUALA LUMPUR, 16 Sept -- Jalur Gemilang dinaikkan bersama 10 lagi bendera kontinjen negara yang bertanding pada majlis menaikkan bendera sempena Sukan Para ASEAN Ke-9 Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) di Dataran Keris Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. -- fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUALA LUMPUR – Lebih 300 atlet dan pegawai daripada 11 negara berhimpun di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini bagi mengikuti upacara menaikkan bendera bersempena temasya Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017.

Berlangsung dalam cuaca yang baik, majlis tersebut terlebih dahulu dimulakan dengan ucapan aluan oleh Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) Mejar Jeneral Osoth Bahvilai daripada Thailand sebelum diikuti ucapan oleh Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Ia kemudian diikuti dengan ucapan penuh bersemangat oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mengalu-alukan kedatangan 11 kontinjen negara bertanding selain turut memberikan kata-kata semangat kepada barisan atlet negara.

Majlis kemudian diteruskan dengan upacara menaikkan bendera diiringi lagu kebangsaan setiap negara dengan bendera negara Brunei menjadi bendera pertama dinaikkan sebelum diikuti bendera Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam.

Kemuncak majlis pagi ini menyaksikan Jalur Gemilang dinaikkan dan lagu Negaraku dinyanyikan oleh kontinjen Malaysia, menandakan bermula perjuangan skuad para negara dalam misi memburu 103 pingat emas untuk muncul juara keseluruhan pada temasya dwitahunan itu.- BERNAMA

7078d65c9b8836a746a492b5cc5c378c?s=150&d=mp&r=g
+ posts