Home Sukan PM rasmikan Sukan Para ASEAN 2017

PM rasmikan Sukan Para ASEAN 2017

Kemeriahan pertunjukan bunga api sempena Pembukaan Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 17 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan kejohanan Sukan Para ASEAN 2017 (Para KL2017) dengan gilang gemilang di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

 Upacara perasmian temasya dwitahunan itu yang bermula kira-kira 8.15 malam tadi menandakan secara rasminya ia berlangsung mulai hari ini hingga Sabtu depan.
Temasya kali ke-9 itu menawarkan 368 pingat emas daripada 16 acara sukan itu yang dipertandingkan.
Seramai 1,421 atlet mengambil bahagian dalam kejohanan ini termasuk 711 pegawai keseluruhan dari 11 negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam.
Malaysia menyasarkan 103 pingat emas untuk muncul juara keseluruhan kali kedua selepas edisi 2001 juga sebagai tuan rumah.
Pembukaan temasya itu lebih bermakna apabila Malaysia pada hari pertama telah merangkul tujuh emas, lima perak dan satu gangsa.
Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Pada majlis itu, atlet angkat berat paralimpik negara, Sharifah Raudzah Syed Akil mewakili upacara membaca ikrar Sukan Para ASEAN. – MalaysiaGazette