Home Sukan Kuakan layu di kolam renang

Kuakan layu di kolam renang

Atlet negara Carmen Lim (kiri) memenangi pingat perak bergambar bersama pemenang pingkat emas Thongbai Chaisawas (tengah) dan pemenang pingat gangsa Nor Aimah (kanan) bagi acara 100m renang gaya bebas kategori wanita S8 Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Pusat Akuatik Kebangsaan Bukit Jalil hari ini.-BERNAMA

KUALA LUMPUR – Kontinjen negara beraksi hambar apabila hanya meraih empat pingat perak dan dua gangsa pada hari pertama acara renang Sukan Para ASEAN ke-9 (APG) Kuala Lumpur 2017 yang menawarkan 84 pingat emas keseluruhannya di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Carmen Lim yang beraksi dalam kategori 100 meter (m) gaya bebas wanita S8 hanya mampu melakukan catatan masa 1 minit 29.75 saat untuk menduduki tempat kedua di belakang perenang Thailand Thongbai Chaisawas (1:28.99s) manakala gangsa menjadi milik Indonesia menerusi Nor Aimah (1:34.54s).

Zadrian Chen Zhi Weng turut gagal mencipta kejutan dalam kategori 200m gaya bebas lelaki S14 apabila terpaksa akur dengan kehebatan perenang Indonesia yang melakukan 2:16.33s, 2.54s di hadapan Zadrian untuk mengutip pingat emas.

Perenang Singapura terpaksa berpuas hati di tempat ketiga setelah melakukan 2:20.03s.

Sementara itu, harapan Anderson Anak Jamba untuk muncul juara tidak kesampaian apabila beliau dipintas di saat-saat akhir oleh perenang Vietnam, Ha Van Hiep yang melakukan catatan masa 1:01.83, hanya 0.81s di hadapan Anderson (1:02.64s).- BERNAMA