KUALA LUMPUR – Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) menyifatkan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerang Tan Sri Muhammad Muhd Taib selepas menyertai semula UMNO sebagai cubaan mengalihkan isu kepincangan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, langkah Mahathir yang mengungkit penahanan Muhammad di lapangan terbang Brisbane Australia pada 1996 mencerminkan negarawan itu kini ketandusan modal politik.
“Selepas sahaja Tan Sri Mat Taib keluar daripada PKR dan menyertai semula UMNO, serangan ke atas Mat Taib telah dilakukan oleh Tun M merujuk kepada insiden di Brisbane 1996.
“Umum mengetahui selepas dibicarakan Mat Taib didapati tidak bersalah oleh mahkamah Brisbane,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Mahathir mengimbas kembali kes Muhammad ditahan di Australia kerana didakwa melanggar undang-undang negara itu selepas beliau didapati membawa beg yang penuh berisi wang tunai.
Muhammad dipaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor pada April 1997 selepas didakwa di Australia kerana penyelewengan mata wang sebanyak RM3.8 juta.
Zulkarnain berasa hairan apabila Mahathir langsung tidak mengulas tindakan beberapa pemimpin parti pimpinannya yang bertindak meninggalkan PPBM dan terkini pengasas parti itu, Anina Saadudin.
“Beberapa bekas pemimpin PPBM seperti Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Datuk Mohd Ezam Mohd. Nor, Hasnita Hishamudin dan Datuk Hamidah Osman sudah meninggalkan parti.
“(Tapi) Tun Mahathir masih kelihatan membisu dan cuba mengelak untuk mengulas sebab utama pemimpin-pemimpin ini meninggalkan PPBM yang diasaskan beliau,” katanya.
Zulkarnain berkata, Mahathir cuba menurup kelemahan partinya sendiri dengan mengalihkan isu termasuk menyerang kepimpinan Muhammad.
Katanya lagi, keluarnya pemimpin-pemimpin PPBM menunjukkan parti serpihan UMNO itu semakin bermasalah.
“PPBM hanya menumpang populariti DAP dan PKR dalam Pakatan Harapan untuk menagih simpati rakyat bagi meraih undi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Comments are closed.