KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) akan menganjurkan program pelaburan berteraskan hiburan berinformasi, ‘Fiesta Labur PNB’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dari 28 September hingga 1 Oktober ini.
PNB adalah anak syarikat milik Permodalan Nasional Berhad.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Encik Mohammad Hussin, berkata, Fiesta Labur PNB diadakan untuk menyampaikan maklumat berkaitan pelaburan dalam suasana santai dengan orang ramai.
“Menerusi Fiesta Labur PNB, ASNB mahu menyampaikan mesej mengenai kelebihan melabur dan berkongsi ilmu asas pelaburan seperti Kuasa Kompaun dan Rule of 72 supaya pengunjung memahami bahawa pelaburan itu tidaklah rumit,” katanya.
Turut diadakan ialah bengkel ‘Kuasai Kewangan Peribadi Anda’ yang akan membincangkan empat topik menarik iaitu Pembiayaan ASB, Perancangan Pelaburan Emas, Perancangan Pelaburan Hartanah dan Perancangan Harta Pusaka yang antaranya mengundang sifu hartanah, Ahyat Ishak sebagai penceramah.
Fiesta Labur PNB mengumpulkan semua program didik laburnya seperti Kuiz Pelaburan PNB untuk empat kategori iaitu Badan Beruniform; Sekolah Menengah; Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT); Jamboree untuk ahli Kelab Pelabur Bijak PNB, dan Persembahan Seni Kreatif serta Kem Perancangan Kewangan Kanak-Kanak PNB untuk pelajar sekolah rendah.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput untuk mengunjungi dan menyertai program seperti Santai Labur yang membariskan personaliti jemputan Datuk Seri Vida dan Datuk Aliff Syukri, dan Labur Ria yang menggabungkan artis popular seperti Ziana Zain, Aiman Tino dan Wany Hasrita.
Menurut Mohammad, bagi memeriahkan lagi Fiesta Labur PNB, sebanyak 50 gerai jualan dan pameran akan dibuka di PICC terdiri daripada ejen ASNB, badan beruniform dan peniaga IKS yang menjual pelbagai produk seperti tudung, pakaian, makanan dan barangan kecantikan.
“Kaunter Perkhidmatan dan Perancangan Kewangan ASNB turut dibuka untuk memudahkan pengunjung melabur dan berurusan dengan ASNB. Para pengunjung digalakkan mengemaskini maklumat peribadi dan mendaftar untuk menggunakan portal myASNB semasa di Fiesta nanti,” katanya.
Fiesta Labur PNB yang akan berlangsung pada pukul 9 pagi hingga 9 malam pada 28 September sehingga Sabtu 30 September dan 9 pagi hingga 1 tengahari pada 1 Oktober 2017.
Masuk adalah percuma dan pengunjung bertuah berpeluang memenangi pelbagai hadiah dengan nilai keseluruhan RM150,000.00, yang terdiri daripada unit amanah ASNB,
barangan elektrik, gajet dan pelbagai barangan menarik lain. – MalaysiaGazette