Home Seni Hidup Bukan riak, video klip sahaja – Vida

Bukan riak, video klip sahaja – Vida

Foto Instagram Datuk Seri Vida

KUALA LUMPUR – Pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Hasmiza Othman tampil menjelaskan adegan ‘mandi duit’ merupakan sebahagian rakaman untuk klip video single terbaharunya, I Am Me.

Pada masa sama, Hasmiza atau lebih popular dengan nama Datuk Seri Vida memohon maaf jika adegan itu dianggap keterlaluan oleh netizen yang menjadi tular sejak Ahad lalu.

Bagaimanapun, beliau mempunyai alasannya sendiri kerana ingin berkarya dalam video klip yang dibuat baharu untuk single pertamanya itu.

“Saya tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk. Sebenarnya saya ingin berkarya untuk menghasilkan video klip termahal di Malaysia,” katanya.

Vida meluahkan perasaannya itu laman sosial Intagram miliknya hari ini.

Jutawan kosmetik itu berkata, beliau mahu menghasilkan klip video yang setanding dengan penyanyi pop popular Taylor Swift dan Katy Perry yang disifatkan mempunyai kelas tersendiri.

Menurut Vida, beliau membelanjakan lebih RM1 juta untuk penghasilan video itu.

“Segala props termasuk barang kemas terutamanya cincin dan gelang yang ditempah khas untuk klip video ini menelan belanja lebih RM1 juta. Saya bukan nak riak tapi itulah harga yang perlu saya bayar untuk dapatkan klip video bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, klip video arahan pengarah Filem Polis Evo, Ghaz Abu Bakar itu mengambil masa selama dua hari untuk disiapkan.

“Sebenarnya proses penggambaran ambil masa empat hari tapi kita pendekkan jadi dua hari. Kita mula dari subuh Sabtu sehinggalah Subuh semalam. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Vida berkata klip video itu akan dilancarkan pada 30 September ini.

“Ada banyak elemen kejutan dalam klip video ini. Insya-Allah video klip ini akan menemui peminat pada 30 September ini,” katanya.

Adegan ‘bermandikan duit’ yang dikongsi Vida menerusi Facebooknya Sayang-Sayang DSV itu pada Ahad dikecam netizen dengan ada menyifatkan usahawan kosmetik itu sebagai riak. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.