Home Nasional 76 mangsa banjir 2014 dapat kunci rumah

76 mangsa banjir 2014 dapat kunci rumah

Datuk Ahmad Jazlan Yaakub hadir pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Mangsa Banjir 2014 di RKB berkelompok di Kg. Kemubu, Mukim Kuala Stong, Daerah Dabong jajahan Kuala Krai, Kelantan di sini hari ini.

DABONG – Kerajaan mengotakan janjinya apabila seramai 76 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima kunci rumah kepada mangsa bah kuning pada 2014 di atas tanah seluas 6.25 ekar hari ini.

Rumah Kekal Baharu atau RKB dibina di Kampung Kemubu di sini bagi mangsa banjir tersebut bernilai RM70,000 sebuah dengan kos pembinaan keseluruhan berjumlah RM13.07 juta.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, kos-kos yang terlibat adalah termasuk kos pembinaan RKB dan infrastruktur.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, kerajaan persekutuan telah mengambil kira kesesuaian tanah dan tapak untuk membina kawasan perumahan baharu itu.

“Perkara itu dijelaskan oleh ADUN Dabong, Datuk Ramzi Ab. Rahman yang mencadangkan tapak untuk membina penempatan semula mangsa-mangsa bah kuning 2014 yang lalu.

“Kerja-kerja pembinaan yang bermula sejak 15 Februari 2016 telah siap pada 15 Julai 2016, hanya mengambil masa lima bulan sahaja untuk disiapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut hadir pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Mangsa Banjir 2014 di RKB berkelompok di Kampung Kemubu, Mukim Kuala Stong, Daerah Dabong jajahan Kuala Krai.

Rumah Kekal Mangsa Banjir 2014

Sementara itu, wakil dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri, AdiRatna Wira Adnan berkata, biarpun berdepan beberapa isu teknikal yang harus diselesaikan, mereka akhirnya dapat mendiami penempatan ini bermula hari ini.

Jelasnya, projek pembinaan RKB bagi mangsa banjir 2014 diselaraskan oleh NADMA dan dibantu oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan dan Jabatan Kerja Raya. – MalaysiaGazette

+ posts