Home Nasional Laporan polis terhadap Puad bagi pelihara martabat dan maruah RCI – Peguam...

Laporan polis terhadap Puad bagi pelihara martabat dan maruah RCI – Peguam Tun M

Haniff Khatri Abdulla

PUTRAJAYA – Peguam bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Haniff Khatri Abdulla berkata tujuan pihaknya mengesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) membuat laporan polis terhadap Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Mohd Puad Zarkashi adalah perlu.

Ujarnya, langkah itu perlu untuk memelihara martabat dan maruah RCI sebagai institusi siasatan berhubung kerugian BNM.

“Bagaimana mereka (Jasa) menyentuh keterangan yang diberikan Nor Mohamed (Yakcop) di mana mengatakan orang atasan yang dirujuk oleh beliau semestinya adalah (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir (Mohamad).

“Pada kami ia salah dan satu penyelewengan keterangan sebab dalam rekod Nor Mohamed menunjukkan orang atasan yang dimaksudkan dan katakan dalam keterangan itu adalah bekas Gabenor BNM (Tan Sri Jaafar Hussein) dan Timbalan Gabenor BNM (Tan Sri Lee See Yan),” katanya selepas RCI berakhir hari ini.

Haniff berkata demikian setelah Pengerusi RCI, Tan Sri Sidek Hassan enggan membuat laporan polis berhubung kenyataan Puad.

Puad dalam kenyataan di Malaysiakini berkata, Nor Mohamed selaku penasihat BNM cuba melindungi Dr Mahathir Mohamad, dalam keterangan yang diberikan pada prosiding RCI berkenaan kerugian forex.

Haniff dalam prosiding hari ini berkata, kenyataan Puad itu boleh dianggap mencabar dan menghina RCI.

Prosiding RCI hari ini berakhir setelah memanggil 25 saksi dan meneliti 42 dokumen berkaitan urus niaga mata wang pada awal 1990-an lalu.

Panel yang diketuai Pengerusi Petronas, Mohd Sidek Hassan akan membentangkan penemuannya kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad ke-V pada 13 Oktober depan. -MalaysiaGazette.