Home Ekonomi Mara sedia latihan penjenamaan bantu usahawan tembus pasaran global

Mara sedia latihan penjenamaan bantu usahawan tembus pasaran global

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berucap seterusnya merasmikan seminar Gate To Global yang diadakan di Hotel Premeira, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 19 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Bagi membantu usahawan tempatan menembusi pasaran global, Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memberi latihan penjenamaan terhadap produk yang dihasilkan bagi memastikan ia memenuhi kriteria untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Pengerusinya, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, aspek penjenamaan dalam kalangan usahawan masih lemah, dan oleh sebab itu MARA sebagai agensi yang bertanggungjawab membantu usahawan akan menyediakan latihan dan program sepatutnya untuk mengeksport produk mereka.

“Dalam usaha mengangkat usahawan bumiputera ke lebih tinggi daripada berniaga di Malaysia kita mahu lihat mereka ambil peluang di pasaran dunia.

“Peluang begitu banyak masih dapat lagi diambil kesempatan oleh usahawan… kita tahu mereka ada produk dan kesungguhan tapi keperluan penjenamaan untuk pakej yang diterima di peringkat anrarabangsa, ini antara kelemahan yang perlu dibaiki,” katanya selepas merasmikan Gate to Global hari ini.

Jelas beliau lagi, Malaysia perlu ke hadapan memainkan peranan dalam industri halal dengan menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan kepada usahawan untuk memasarkan produk mereka di peringkat yang lebih tinggi.

“Kita seharusnya berada di depan dalam produk halal, kalau tinggalkan mereka sendiri barangkali sukar untuk tembusi pasaran global.

“Sebab tu ada usaha agensi berkaitan bantu apa jua cara dari segi latihan dan ilmu pemasaran,” katanya.

Menurut beliau, pasaran industri halal global dijangka melebihi RM10 trilion dengan eksport tahunan Malaysia bernilai RM42 billion.

Mara dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp) mengadakan program Gate To Global (GTG) bertujuan memberi fokus kepada pembangunan keupayaan usahawan melalui oengukuhan penjenamaan yang membawa produk tempatan ke pasaran global.

Dalam usaha ini, MARA mensasarkan 500 usahawan diberikan pendedahan dalam segala aspek berkaitan perniagaan di peringkat antarabangsa supaya dapat mencapai sasaran sekurang-kurangnya 100 Stock Keeping Unit (SKU) pada 2018.

“Dari segi kewangan kita ada sediakan geran, RM20 juta dan ada pinjaman mudah sebanyak RM5 juta. Ia masih lagi tidak diambil sepenuhnya oleh usahawan, jadi kita harap dengan usaha yang lebih tersusun mereka dapat menembusi pasaran di peringkat antarabangsa.

“Ini adalah peringkat permulaan, kita bukan lagi mahu jaguh kampung tapi jaguh di peringkat global,” ujarnya. – MalaysiaGazette