Home Sukan Neymar, Cavani berebut sepakan penalti

Neymar, Cavani berebut sepakan penalti

Neymar dan Edinson Cavani terlibat dalam pertikaian mengambil sepakan penalti ketika PSG menentang Lyon, pagi semalam.

PARIS – Kelab gergasi Perancis Paris Saint-Germain (PSG) kini berdepan masalah apabila dua penyerang utamanya, Neymar dan Edinson Cavani terlibat dalam pertikaian mengambil sepakan penalti.

Kejadian itu berlaku ketika PSG menjadi tuan rumah kepada Lyon dalam perlawanan Liga Perancis di Stadium Parc des Princes semalam yang dimenangi oleh Les Parisiens dengan jaringan 2-0.

Insiden itu mula menarik perhatian pada minit ke-48 apabila Dani Alves dan Cavani bergegas untuk melakukan tendangan bebas.

Namun secara tiba-tiba, Neymar datang dan merampas bola daripada tangan Alves dan melakukan tendangan bebas.

Kemuncakan ketegangan hadir pada minit ke-80 apabila Cavani dan bintang Brazil itu bergegas mengambil sepakan penalti.

Penyerang antarabangsa Uruguay itu akhirnya mengambil sepakan itu namun tendangan penaltinya berjaya ditepis penjaga gawang Lyon.

Laman web, L’Equipe melaporkan Neymar dan Cavani dikatakan terus berperang mulut hingga ke bilik persalinan sebelum dileraikan oleh kapten pasukan, Thiago Silva.

Bagaimanapun, Cavani tampil menjelaskan insiden itu dalam program radio Uruguay, Gol de Medianoche.

“Terlalu banyak untuk diperkatakan namun saya tidak tahu apa yang muncul mengenai itu. Kebenarannya adalah perkara biasa dalam bola sepak,” kata Cavani.

“Saya mendengar berita semasa bercakap dengan kakak saya. Orang mengatakan bahawa Cavani tidak memberi penalti kepada Neymar dan Cavani mempunyai masalah dengan Neymar,” kata Cavani.

Penjaring terbanyak Liga Perancis musim lepas dengan 35 gol menerangkan dia sebenarnya tiada apa yang berlaku.

“Neymar baru saja menyertai PSG, sudah tentu dia sentiasa menjadi tumpuan.

“Seperti yang saya katakan tadi, kita menyesuaikan dengan baik. Malah, kita boleh menyesuaikan dengan cepat, “kata Cavani.

Sementara itu, kegagalan Cavani menjaringkan sepakan penalti itu menbuatkan koleksi golnya kekal dengan tujuh jaringan.

Dia kini berada di belakang penyerang, Radamel Falcao mendahului senarai penjaring terbanyak dengan sembilan gol. – MalaysiaGazette