KUALA LUMPUR – Aktres Nora Danish akhirnya mengesahkan sedang hamil tiga bulan selepas lebih lima bulan mengecap nikmat perkahwinan bersama Nedim Nazri.
Sebelum ini, netizen berteka-teki mengenai kehamilan bintang Polis Evo itu selepas melihat foto Nora menghadiri majlis pernikahan teman baik dari Indonesia, Laudya Cynthia Bella dan Engku Emran Engku Zainal Abidin yang dikongsi di laman sosial.
Gambar itu jelas menampakkan Nora sedikit berisi dengan tanda ‘baby bump’.
“Saya gembira dengan berita ini. Cuma pada peringkat awal dan atas nasihat doktor, saya tidak boleh terburu-buru.
“Pada usia saya sekarang, apa saja boleh terjadi. Saya kena lebih berhati-hati dan atas nasihat doktor serta suami, kerja seni terpaksa diperlahankan.
“Tumpuan saya sekarang lebih kepada menjaga kandungan dalam perut ini,” katanya yang memiliki seorang anak daripada perkahwinan lalu.
Tambah pengusaha label fesyen Owl By ND ini, suaminya paling gembira dengan berita itu.
“Sekalipun saya dan suami sudah mempunyai pengalaman memiliki anak, keterujaan itu jadi berbeza. Malah, ini menjadi tanda cinta saya dan suami.
“Nampaknya impian Rayqal hendak ada adik akhirnya dipermudahkan. Sebelum ini pun, dialah yang begitu mahu saya berikan adik,” katanya.
Nora, 35, bernikah dengan Nedim pada 30 Mac lalu.
Mengenai jantina bakal anaknya, Nora dan suami, tidak kisah sama mereka bakal dikurniakan puteri atau putera.
“Tapi dapat anak perempuan pun okay juga… Boleh jadi penyeri dalam keluarga kami.
“Namun, semuanya masih terlalu awal untuk dijangka,” katanya. – MalaysiaGazette