KUALA LUMPUR – Great Eastern Holdings Ltd. dilaporkan sedang merancang untuk melupuskan pegangannya dalam operasi di Malaysia pada nilai AS$1 bilion (RM4.19 bilion).
Menurut The Wall Street Journal (WSJ), Great Eastern telah melantik sebuah bank Malaysia untuk membincangkan cadangan tersebut.
Great Eastern adalah 87 peratus anak syarikat milik OCBC Bank di Singapura.
Syarikat-syarikat insurans lain dilaporkan dalam perbincangan untuk melupuskan pegangan mereka dalam anak-anak syarikat di Malaysia susulan tarikh akhir yang diberi Bank Negara supaya mereka memiliki pegangan tempatan termasuk Prudential plc dari United Kingdom dan Tokio Marine Holdings, Jepun.
Menurut WSJ, kedua-dua Prudential dan Tokio Marine merancang untuk menjual hampir satu pertiga daripada pegangan mereka dalam anak-anak syarikat di Malaysia.
Kesemua urusniaga tersebut dijangka mampu meraih sejumlah AS$3 bilion dalam tempoh sembilan bulan.
Jun lalu, Bank Negara memberikan tempoh sehingga Jun 2018 kepada syarikat-syarikat insuran supaya tidak memiliki pegangan asing melebihi 70 peratus.
Langkah tersebut bermatlamat untuk meningkatkan penyertaan tempatan dalam industri berkenaan.
Pelbagai laporan sebelum ini menyebut antara pembeli-pembeli berpotensi adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Permodalan Nasional Bhd. -MalaysiaGazette