Home Nasional Pelajar tahfiz lompat keluar beransur pulih

Pelajar tahfiz lompat keluar beransur pulih

Orang ramai turut mencari pelbagai sudut untuk melihat keadaan bangunan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah berikutan kejadian kebakaran yang meragut 23 nyawa pelajar tahfiz di Jalan Datuk Keramat, Selangor. foto IQBAL BASRI, 17 SEPTEMBER 2017
KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini yang parah selepas melompat dari tingkat tiga pusat itu yang sedang terbakar kini semakin pulih.

Bapanya Datuk Dr Sharifuddin Musa, 45, berkata anaknya Mohd Shahir, 11, masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan menggunakan alat bantuan pernafasan.

Menurutnya anaknya terbakar 20 peratus di bahagian belakang, selain patah rusuk dan tulang punggung.

“Dia semakin pulih dan mungkin petang ini doktor akan buka bantuan pernafasannya, tetapi perlu melihat keadaan dia terlebih dahulu.

“Setakat ini semuanya baik, dia juga sedar dan memberikan respons positif kepada doktor sekiranya ditanya dia sakit di bahagian mana. Dia akan gerakkan tangan atau menganguk,” katanya kepada Bernama.

Dr Sharifuddin berkata anak ketiga dari empat beradik itu sememangnya gembira belajar di pusat tahfiz berkenaan dan berjaya menghafal surah Yasin hanya dalam masa tiga bulan.

“Dia seorang pendiam tetapi selepas dia masuk tahfiz itu, dia memaklumkan yang dia mempunyai ramai kawan,” katanya.

Sehingga kini Mohd Shahir dan dua lagi pelajar masih mendapatkan rawatan di HKL.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tersebut terkorban akibat terperangkap di asrama yang terletak di tingkat paling atas daripada bangunan tiga tingkat itu dalam tragedi 5.15 pagi Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengumumkan tujuh remaja berusia antara 11 dan 18 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran berkenaan.

— BERNAMA