KUALA LUMPUR – Sebuah klip video yang memaparkan aksi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebagai pemandu teksi mencuri perhatian pengguna laman sosial.
Klip video berdurasi 6.50 minit itu memaparkan Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia secara sinis mengulas beberapa isu semasa yang berlaku dewasa ini.
Video itu sengaja dirakamkan bagi tujuan menyedarkan golongan tertentu berhubung perkara-perkara yang mungkin tidak disedari telah berlaku khususnya melibatkan golongan muda.
Menerusi Facebook, klip video yang dimuat naik Muhammad Afiqq pada 18 September lalu itu telah ditonton lebih 515,000 pengguna laman sosial tersebut dengan lebih 7,423 perkongsian.
Dalam video itu, Khairy membangkitkan beberapa perkara antaranya melibatkan masalah besar yang belaku di Malaysia terutama melibatkan bola sepak.
Meskipun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini telah dinaungi Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, namun, aksinya dalam video parodi itu masih menjadi perhatian netizen.
“Mana pergi budak-budak kita ni malam-malam Ahad. Bukan pergi stadium tengok bola. Bukannya pergi tengok Selangor, bukan tengok Terrengganu.
“Tapi, pergi kedai kopi, pergi warung, pergi mamak, tengok Manchester United, tengok Real Madrid, tengok Arsenal, tengok Chelsea, abang dah Fed Up tengok semua ni.
“Dan FAM ni pun satu..kalau nak cakap pasal FAM tak taulah macam-macam perkataan keluar nanti..orang politik jangan masuk FAM lagi, ni mereka nak guna FAM..abang tak suka langsung,” katanya.
Khairy berkata demikian menjawab soalan oleh seseorang yang merekodkan percakapannya.
Perkara lain yang turut dibangkitkan menerusi soalan kepada Khairy adalah berhubung isu bahasa dan isu lompat parti oleh ahli politik.
Seorang pengguna Facebook, Lailaton Halaliah Jamaluddin memberikan komen; “Terbaik…dapat menyedarkan masyarakat kita,” katanya.
Seorang lagi Dirul Ramlee memberikan pendapat menerusi ruangan komen berkata;
“Bahasa Melayu, pendapat saya, kalau kita jumpa orang Malaysia kita cakaplah bahasa Melayu.. tak payahla mau action mau cakap English sesama sendiri…bukan saya cakap takleh cakap BI, kalau kita jumpa orang asing baru kita cakap English…apa orang cakap kena ngam tempatlah,” ujarnya.
Sementara itu, Muhd Danial berkata; “Video ni dah ada sebelum dia (KJ) jadi Menteri laa…Tu yang cakap lepas tu…Mau hilang jawatan cakap macam ni sekarang,” tulisnya.
Bagaimanapun, video itu yang pernah tular hingga menjadi tumpuan netizen sebelum ini sengaja dihangatkan kembali di laman sosial bagi tujuan hiburan. – MalaysiaGazette