KUALA LUMPUR – Oldtown Berhad (Oldtown) mengesahkan letupan berlaku di pusat pemprosesan makanannya di Subang Jaya pagi tadi.
Oldtown adalah pengendali rangkaian kopitiam OldTown White Coffee.
Operator makanan dan minuman ini turut mengesahkan letupan itu mengakibatkan beberapa pekerja cedera.
“Syarikat dan pihak pengurusan komited untuk memberikan sokongan dan bantuan penuh kepada pekerja yang cedera,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Susulan kejadian itu, Oldtown telah menghentikan sementara operasi pemprosesan makanan yang dimiliki oleh anak syarikat milik penuhnya, Emperor’s Kitchen Sdn Bhd berikutan letupan tersebut.
Menurut Oldtown, kejadian itu berlaku di Jalan Subang 10, Subang Industrial Park kira-kira pukul 8 pagi.
Letupan itu hanya menjejaskan tingkat bahagian pengeluaran manakala kawasan bersebelahan yang diduduki oleh unit operasi dan pejabat pentadbiran lain tidak terjejas.
Oldtown berkata, jabatan bomba dan polis serta pihak pengurusan masih menjalankan siasatan untuk menentukan punca letupan itu.
Berdasarkan pelbagai laporan, terdapat sekurang-kurangnya tujuh mangsa yang cedera akibat letupan itu terdiri warganegara Myanmar dan Nepal.
Mereka dilaporkan dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan.
Oldtown berkata, operasi pemprosesan makanan dijangka bermula semula “melalui cara bantuan dalam tempoh sesingkat mungkin” untuk mengelakkan gangguan bekalan.
Tambahnya, pada masa ini lembaga pengarah tidak dapat menentukan impak kewangan ke Emperor’s Kitchen tetapi percaya kerosakan akibat letupan itu telah diinsuranskan, bergantung kepada penilaian syarikat insurans.
“Pengumuman yang sewajarnya akan dibuat pada waktu tamat sebaik sahaja Emperor’s Kitchen beroperasi semula dan kerugian ditentukan,” katanya. – MalaysiaGazette