Home Nasional Organisasi media terdedah risiko kemalangan

Organisasi media terdedah risiko kemalangan

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR – Kemalangan yang melibatkan seorang wartawan semalam membuktikan betapa pentingnya meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam kalangan pengamal media.

Oleh itu, organisasi media perlu memberi tumpuan kepada keselamatan pekerja itu kerana mereka terdedah kepada risiko kemalangan yang tinggi terutama mereka yang menunggang motosikal.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Tham Thye berkata, pihaknya melihat kejadian itu dengan serius dan akan memberikan bantuan kepada semua organisasi media untuk meningkatkan aspek KKP dalam kalangan kakitangan mereka di bawah program KKP untuk Media.

Program KKP untuk Media adalah kerjasama antara NIOSH dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Antara lain, program ini turut memberi penekanan terhadap pemanduan dan menunggang motosikal secara berhemah memandangkan trend kemalangan ulang-alik yang semakin meningkat di negara ini.

Dalam insiden 3 petang semalam, wartawan New Straits Times, Fernando Fong Kee Soon cedera apabila motosikalnya dilanggar kereta peronda polis yang sedang mengejar sebuah kenderaan lain.

Kejadian berlaku berhampiran plaza tol Sunway di Lebuhraya Baru Pantai ketika mangsa baru keluar dari lorong motosikal.

Lam Thye berkata, laporan interim dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memaklumkan terdapat kenaikan 10 peratus dalam bilangan kemalangan perjalanan ulang-alik antara kediaman dan tempat kerja pada tahun lepas berbanding tahun 2015.

Trend ini amat membimbangkan apabila 31,314 kes dilaporkan pada tahun lepas berbanding 28,579 kes pada tahun 2015.

Pada tahun 2012, bilangan kemalangan perjalanan ialah 26,256 kes sementara 27,659 kes dilaporkan pada tahun 2013 dan 28,037 pada tahun 2014.

Ia menunjukkan bahawa bilangan kemalangan dalam perjalanan telah meningkat 19 peratus dalam tempoh lima tahun, antara 2012 dan 2016.

Beliau turut menggesa pengguna jalan raya supaya lebih berhemah ketika berada di jalan raya dan memberi laluan kepada kenderaan agensi penguatkuasaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan ambulans yang bergerak pantas untuk tugas rasmi.

Pada masa yang sama, pemandu kenderaan agensi terbabit juga perlu berhati-hati untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. – MalaysiaGazette