SITTWE – Ratusan penduduk Buddha di Myanmar didakwa cuba menyekat penghantaran bantuan kepada penduduk Islam di Rakhine.
Beberapa saksi mendakwa berlaku serangan oleh penunjuk perasaan dengan melontar bom petrol sebelum polis menyuraikan mereka dengan melepaskan tembakan di udara.
Kejadian itu menyebabkan beberapa orang cedera.
Kerajaan Myanmar dalam kenyataannya berkata, seramai lapan orang ditangkap berikutan serangan tersebut.
Dakwaan itu meningkatkan bukti permusuhan yang boleh mengancam dan menyukarkan penghantaran bantuan antarabangsa.
Penghantaran bantuan itu dibuat oleh Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menuju ke utara negeri itu, di lokasi serangan pemberontak pada 25 Ogos yang kemudiannya mencetuskan tindak balas tentera.
Keganasan itu telah menyebabkan lebih daripada 420,000 penduduk Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.
Tetapi masih ramai yang masih berada di Myanmar, tinggal dalam ketakutan tanpa makanan dan bekalan lain. – MalaysiaGazette