KUALA LUMPUR – Hala tuju MIC dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dijangka akan menjadi topik hangat pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MIC ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula Sabtu ini.
Setiausaha Agung MIC, Datuk A Sakthivel berkata perwakilan parti harus menggunakan perhimpunan tahun ini sebagai platform untuk mengutarakan idea dan strategi bersama kepimpinan tertinggi MIC sebagai persediaan menghadapi PRU14 yang akan menjelma tidak lama lagi.
“Ini merupakan AGM terakhir sebelum PRU14, jadi persediaan parti untuk PRU14 sudah pasti akan dibincangkan oleh semua perwakilan yang hadir.
“Idea untuk mengembalikan keyakinan masyarakat India terhadap MIC dengan menang semula kerusi yang kalah pada PRU13 dan kekalkan kerusi yang menang pada PRU akan datang perlu dibincangkan oleh perwakilan,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Sakthivel menjelaskan perhimpunan dua hari itu juga akan membincangkan isu-isu berkaitan kebajikan, ekonomi, pendidikan dan memperkasakan masyarakat India dan bukannya isu remeh-temeh.
Seramai 4,000 ketua cawangan termasuk 1,500 perwakilan dari seluruh negara akan mengambil bahagian dalam perhimpunan kali ini yang juga akan menyaksikan pembentangan semua laporan tahunan bagi 2016.
Diminta mengulas mengenai desas-desus yang menyatakan pindahan perlembagaan parti yang berusia 71 tahun itu juga akan dilakukan dalam AGM minggu ini, Sakthivel berkata ia masih dalam perbincangan dan hanya diketahui pada hari berkenaan.
Beliau berkata Presiden MIC dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dijadual mengadakan acara tradisi parti iaitu majlis Makan Malam Presiden di PWTC, Sabtu ini.
Sakthivel juga yakin tidak akan berlaku sebarang kekecohan daripada penyokong bekas presiden Datuk Seri G Palanivel kerana menurutnya 90 peratus ketua cawangan telah kembali kepada kepimpinan Dr Subramaniam.- BERNAMA