Home Nasional Saya, KPKT tak ada kena mengena dengan DBI – Noh

Saya, KPKT tak ada kena mengena dengan DBI – Noh

Tan Sri Noh Omar.

KUALA LUMPUR – Syarikat DBI Properties Sdn. Bhd. yang terpalit dengan skim penipuan tidak ada kena mengena dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Itu penjelasan menterinya, Tan Sri Noh Omar dalam satu kenyataan hari ini.

“Saya amat terkejut bila nama saya dikaitkan dgn skim perumahan yg diusahakan oleh syarikat DBI Properties Sdn. Bhd.

“Video yang dimuatnaik adalah Majlis jamuan Hari Raya yang saya hadiri dan bukan program rasmi.

“Sebelum balik saya telah diminta oleh Dato Boy Iman (pemiliknya) untuk merasmikan ibu pejabat DBI Properties dan diminta untuk memberi ucapan,” ujarnya.

Menurut Noh, semua skim perumahan DBI Properties ini tidak ada kaitan dengan KPKT kerana skim perumahan itu tidak dilesenkan dibawah Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1996 atau dikenali dengan Akta 118.

“Skim seperti ini tidak melindungi hak pembeli dan urusan penjualan jugatidak terjamin.

“Saya nasihatkan semua pihak yang terlibat menyelesaikan isu ini mengikut undang-undang kerana saya percaya pasti ada perjanjian atau kontrak telah dibuat diantara pembeli dan syarikat DBI Properties atau membuat laporan kepada polis dan KPDNKK.

“Saya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan skim ini ataupun mana-mana individu atau syarikat yang terlibat dengan model perniagaan seperti ini,” tegasnya.

Justeru, Noh telah mengarahkan supaya Jabatan Perumahan Negara mengambil tindakan sewajarnya dalam kes berkenaan.

Dalam masa yang sama mana-mana pihak yang ingin mendapatakan maklumat lanjut berkenaan perkara ini boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perumahan Negara di talian 03-889 14355 atau 03-889 14356.- MalaysiaGazette