KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak tahu menahu ada usaha melobi semasa beliau berjumpa dengan Presiden Amerika Syarikat ketika menjadi Perdana Menteri.
Pengerusi Pakatan Harapan itu mendakwa tidak pernah ada arahan daripada untuk berbuat demikian.
Malah dakwaan anak Allahyarham Tan Sri Megat Junid, Datuk Megat Fairouz Junaidi yang bapanya pernah mengesahkan Tun M melobi juga dinafikannya.
“Anak Megat Junid, Megat Fairouz kata saya bayar bermillion kepada pelobi untuk berjumpa dengan Presiden Amerika. Ini kononnya diberitahu oleh bapanya Megat Junid.
“Saya tidak tahu benar atau tidak kenyataan ini. Mungkin pegawai Wisma yang mengurus perkara lawatan saya yang tahu. Yang saya tahu tidak ada arahan dari saya untuk lobi. Tak apalah Fairouz, anak sahabat saya nak cari makan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebaik sahaja pulang dari AS mendedahkan Tun M membayar berjuta-juta ringgit kepada pelobi untuk bertemu dengan Reagan.
Bagaimanapun, Mahathir tidak mengulas dakwaan soal projek yang dikatakan sebagai bentuk imbuhan kepada usaha lobi itu dibuat.
Seperti biasa, Mahathir memburuk-burukkan Perdana Menteri dengan memetik laporan media di AS yang yang melaporkan berita negatif kepada Najib.
Menurutnya, lawatan Najib ke AS semata-mata mahu bergambar dengan Donald Trump.- MalaysiaGazette