SHAH ALAM – Kenderaan Jabatan Penjara yang membawa Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat kemalangan jalan raya, jam 12.30 tengahari tadi.
Peguam Anwar, R Sivarasa dalam kenyataanya memberitahu, kemalangan berlaku di persimpangan trafik berdekatan Saujana Utama, Sungai Buloh ketika dalam perjalanan dari Hospital Kuala Lumpur ke Penjara Sungai Buloh selepas dirawat wadkan selama empat hari.
“Pegawai penjara yang memandu kereta yang membawa Datuk Seri Anwar telah menekan brek untuk mengelak kereta yang datang dari arah bertentangan, dan kereta pengiring melanggar kereta di hadapan.
“Kereta yang membawa Datuk Seri Anwar telah mengalami kerosakan di bahagian belakang kereta. Syukur bahawa Datuk Seri Anwar tidak mengalami sebarang kecederaan serius, tetapi agak terkejut dan telah diberikan ubat tahan sakit selepas dirawat doktor di Penjara Sungai Buloh,” katanya.
Tambahnya, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. S. Jeyaindran dijadual bertemu Anwar dan menetapkan sama ada beliau memerlukan sebarang rawatan lanjut di hospital.- Malaysia Gazette