KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan penganjuran pesta gay di sini pada 30 September ini adalah siri eksperimen pihak liberal untuk menjadikan Malaysia sebagai tempat berlangsungnya acara songsang.
Naib Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kehidupan LGBT itu yang gigih dipromosikan atas nama kebebasan dan hak asasi sebenarnya untuk terus mencabar Islam sebagai tonggak di negara ini.
“Provokasi ini lanjutan daripada pelbagai penganjuran seumpama itu termasuk pesta arak, bogel dan maksiat lain yang cuba ditaja dalam skala besar dan didalangi oleh kepentingan tertentu.
“Rakyat perlu menyedari sikap melampau yang jijik ini cuba didesak pihak tertentu menjadi sebahagian gaya hidup masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Acara songsang ini dipercayai tersebar selepas pihak penganjur menyiarkan sebuah poster rasmi di media sosial yang mahu mengadakan pesta itu di Kuala Lumpur, 30 September ini.
Pesta gay itu dikatakan sebagai ‘pemanas badan’ menjelang White Party Bangkok selama tiga hari bermula di Bangkok, Thailand, 28 Disember depan.
Ahmad Fadhli juga berkata, perbuatan itu tidak bermoral, terkutuk dan hilang pedoman dari fitrah sebenar kejadian manusia boleh mengundang kemurkaan Allah dan bertentangan sama sekali dengan norma dan nilai hidup manusia bermaruah.
“Kehidupan seperti inilah kancah merebaknya penyakit sosial lainnya seperti seks bebas, pengambilan dadah dan alkohol, kepincangan rumah tangga, kelemahan prestasi kerja serta jenayah.
“Galakan agar suburnya budaya gay, lesbian dan seangkatannya melalui pesta-pesta sedemikian hanyalah menjurus kepada langkah menjahanamkan moral masyarakat dan membiakkan lagi penyakit seperti HIV,” katanya lagi.- MalaysiaGazette