Home Politik PRU14: Pas ajak rakyat beri mandat pemimpin Islam

PRU14: Pas ajak rakyat beri mandat pemimpin Islam

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan. foto FAREEZ FADZIL, 01 MAY 2017.
KUALA LUMPUR – Parti Islam Se-Malaysia (Pas) mengajak rakyat di negara ini khususnya umat Islam berhijrah dan memberikan mandat kepada pemimpin Islam untuk mentadbir Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, selaras dengan tahun baharu Islam 1439 hijriah, PRU14 menjadi titik untuk rakyat Malaysia dan umat Islam melakukan perubahan.
“Apa yang kita mahu ialah mengembalikan semula kuasa politik umat Islam. Kita mahu jumlah kerusi atau suara umat Islam bertambah besar dalam Parlimen. Kerusi mewakili umat Islam selayaknya mencapai dua pertiga majoriti.
“Ianya boleh dilakukan melalui proses pilihan raya dengan pilihan rakyat yang bijak dan mahukan perubahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nasrudin berkata, pemimpin yang benar-benar berpegang kepada ajaran Islam sewajarnya diberi peluang untuk mentadbir urus negara agar bebas daripada rasuah, salah guna kuasa dan spenyelewengan dana awam.
“Kita yakin bahawa Islam membawa kebenaran, keadilan, kesejahteraan dan keselamatan kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa,” katanya.
Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, titik perubahan itu perlu dilakukan segera memandangkan terdapat gerakan politik songsang cuba menguasai negara.
“Rakyat perlu sedar betapa pihak Evangelist, Islam liberal dan golongan yang bertuhankan akal dan nafsu sedang galak berkempen untuk menguasai massa dengan idea-idea songsang mereka.
“Tanpa suara Islam kuat dan cukup bilangan untuk membuat keputusan di Parlimen, maka masa depan umat Islam di negara ini tergugat. Tidak selayaknya di bumi Islam sebagai agama Persekutuan, tiba-tiba umat Islam menjadi lemah.
“Lemah dalam jumlah mereka yang ramai, bangsat di atah tanahair sendiri dan hina di hadapan kaum bangsa sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.