KUALA LUMPUR – Malaysia wajar menolak penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ kerana acara itu mempromosi tabiat hidup yang tidak sihat.
Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) berkata, promosi acara itu sama seperti menggalakkan pengambilan gula yang berlebihan yang akan menjejaskan kesihatan, sama juga dengan arak yang membawa kesan tidak baik kepada kesihatan.
Malah, pengambilan arak akan memberi kesan buruk kepada masyarakat, kata Biro Media Perdim, Dr. Norzaidi Zakaria.
“Kami tidak nampak ada kebaikan pun untuk menganjurkan acara-acara seumpama ini dalam masyarakat kerana kerajaan melalui Kementerian Kesihatan berusaha gigih mendidik dan mempromosi cara hidup sihat.
“Festival arak ini adalah dengan aktiviti tidak sihat lain seperti meroko, justeru mengapa perlu dianjurkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau mengulas mengenai penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ yang dirancang diadakan di Solaris Damansara pada 6 hingga 7 Oktober ini depan di Solaris Damansara di sini.
Bagaimanapun, permohonan bagi penganjuran acara itu telah ditolak oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Semalam, Ketua Polis Negara juga memaklumkan penganjuran itu tidak dibenarkan diadakan atas faktor-faktor keselamatan.
Dr. Norzaidi berkata, dari segi agama pun, festival tersebut juga tidak ada faedahnya untuk ditonjolkan dalam masyarakat kerana kemudaratannya lebih banyak berbanding kebaikan yang diperoleh. – MalaysiaGazette