KUALA LUMPUR – Umat Islam tanpa mengira darjat mahupun kedudukan bertanggungjawab dan wajib mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan di samping memberi keadilan kepada bukan Islam di negara ini.
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, peranan menegakkan Islam adalah tugas bersama semua umat Islam dan berbeza mengikut keadaan.
“Tonggak Islam sebagai Agama Persekutuan wajib dipertahankan, di samping memberi keadilan kepada masyarakat bukan Islam berkonsepkan masyarakat madani.
“Peranan menegakkan Islam adalah tugas bersama, tidak mengira sama ada raja-raja, ulama, pemerintah, ahli politik, kumpulan Islam, institusi agama, penjawat awam, ahli akademik.
“Bahkan seluruh umat Islam bertanggungjawab menegakkan Islam mengikut keadaan masing-masing,” katanya dalam perutusan sempena Maal Hijrah 1439 Hijrah, hari ini.
Abdul Hadi berkata, umat Islam di negara ini juga bertanggungjawab menafsirkan Islam sebagai ad-Din berpandukan ajaran al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah SAW.
“Setelah negara ini ditinggalkan penjajah dan digubal Perlembagaan oleh Suruhanjaya Reid yang meninggalkan tafsiran yang sebenar bagi Islam sebagai Agama Persekutuan,” katanya.
Katanya lagi, umat Islam disaran menghayati peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dan para sahabat dari Mekah ke Madinah yang mempunyai matlamat besar untuk menegakkan negara Islam.
“Allah tidak mengizinkan dunia ini diperintah sewenang-wenangnya oleh masyarakat dan negara mengikut selera manusia yang lemah serta dinaungi oleh sifat-sifat jahiliah.
“Hijrah menjadi satu tuntutan fardu ain bagi tiap-tiap yang mampu dan mestilah mengembelingkan tenaga bagi mencapai matlamat yang telah digariskan.
“Hijrah menjadi satu ujian kepada mereka bagi memperteguhkan keimanan dan keyakinan kepada janji-janji Allah dan Rasul-Nya, walaupun tidak dilihat dengan mata dan pancaindera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette