Home Nasional Berita palsu cuba timbul kebencian rakyat

Berita palsu cuba timbul kebencian rakyat

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra bersama sebahagian pengamal media wanita yang hadir pada Majlis Minum Petang Bersama Wartawan Wanita Malaysia di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2017.
KUALA LUMPUR – Penyebaran berita palsu secara meluas dalam medium dalam talian khususnya media sosial disebarkan dengan sengaja dan kebanyakannya dirancang untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penularan berita palsu itu yang didalangi pembangkang sekurang-kurangnya bertujuan untuk mengelirukan rakyat.
“Kita berdepan dengan Fake News atau berita palsu terutamanya dalam talian, yang menjadi media alternatif yang banyak mempengaruhi rakyat kita terutama sekali golongan muda.
“Kita mesti bertindak tangkas menangani dan menghadapi berita palsu yang disebarkan dengan sengaja melalui dalam talian,” katanya berucap merasmikan Majlis Minum Petang Bersama Wartawan Wanita Malaysia di sini, hari ini.
Najib kesal apabila sesetengah kenyataan pemimpin negara termasuk beliau sendiri disalahertikan atau dikilas untuk mengelirukan rakyat, lebih-lebih lagi melibatkan dana awam.
“Apabila saya bercakap dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di White House baru-baru ini, saya beritahu untuk mengukuhkan ekonomi Amerika.
“Maksud saya kita (Malaysia) jadi penyumbang dana kepada ekonomi Amerika tanpa kita menerima manfaat daripada penyertaan kita dalam ekonomi Amerika,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.