Home Nasional Bumiputera bawah agenda G20 perlu keluar dari kemiskinan

Bumiputera bawah agenda G20 perlu keluar dari kemiskinan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan penerima-penerima sijil vendor pada Majlis Penghargaan Agenda Pemerkasaan Bumiputra G20 di Hotel Pullman Bngsar, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 25 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mahu pencapaian Bumiputera masih berada di bawah kemiskinan selepas pelaksanaan Agenda Pemerkasaan Bumiputera G20 sejak hampir empat tahun lalu.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau mahu Bumiputera dan usahawan baharu yang dilahirkan menerusi agenda G20 mempunyai potensi yang tinggi berbanding sebelum ini.

“Kita harus keluar dari dimensi kemiskinan dan memasuki dimensi memiliki ekuiti yang lebih luas sebagaimana kerajaan bantu mereka menerusi agenda G20 yang saya lancarkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2013,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penghargaan Agenda Pemerkasaan Bumiputera (G20) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia (TM), Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly.

Menurut Najib, sudah sampai masanya kaum Bumiputera keluar dari kemiskinan dan berdikari hasil pengagihan ekuiti oleh kerajaan menerusi agenda G20.

“Kita mahu Bumiputera terutama dalam kalangan usahawan baharu dapat membangunkan modal insan dan intelektual kapital dengan mengukuhkan syarikat masing-masing,” katanya.

Menurut Najib, menerusi agenda G20, kerajaan tidak mahu lagi melihat orang Melayu atau Bumiputera tinggal di Kampung Baru dan Kampung Keramat sahaja, tetapi mereka lebih lebih maju dengan melihat konsep untuk membangunkan mereka dari sudut dimensi yang lebih luas.

Katanya, jika ada kelemahan fundamental, kerajaan akan membantu mereka menjadi usahawan yang dapat berdiri di kaki sendiri selain mempunyai kekuatan diri untuk menempoh dunia moden ekonomi.

“Saya telah cadangkan dasar pemerkasaan Bumiputera ini diganti dengan dasar kesejahteraan Bumiputera. Ia lebih luas dan dimensinya lebih bermakna kerana ia mempunyai kemampuan.

“Sejak dasar ini dilaksanakan, kita lihat inisiatif di bawah pemerkasaan ini berjaya menjana kira-kira RM114 bilion sehingga kini. Saya puas hati dan tertarik dengan dasar ini,” katanya.

Najib berkata, sejak agenda pemerkasaan Bumiputera diumumkan hampir empat tahun lalu, kerajaan telah menterjemahkan program itu dalam pelbagai bentuk tindakan dengan mewujudkan mekanisme tetap dan bukan tetap untuk menjayakan agenda itu. – MalaysiaGazette