Home Nasional Kereta perompak kilang emas ditinggalkan dalam keadaan remuk

Kereta perompak kilang emas ditinggalkan dalam keadaan remuk

KEADAAN kereta jenis Perodua Bezza yang digunakan perompak kilang emas di Butterworth pagi ini yang remuk teruk di bahagian belakang dipercayai terlanggar lori dan ditinggalkan kira-kira liam kilometer dari lokasi rompakan.

BUTTERWORTH – Kereta jenis Perodua Bezza yang digunakan tiga lelaki untuk merompak emas seberat lebih kurang 10 kilogram daripada pekerja kilang memproses emas pagi ini ditemui ditinggalkan di Taman Ampang Jajar, di sini tengah hari ini.

Kereta berwarna merah itu ditinggalkan kira-kira lima kilometer dari lokasi kilang memproses emas tersebut di Jalan Siram di sini.

Kereta dengan nombor pendaftaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu ditemui dalam keadaan remuk teruk di bahagian belakang dipercayai terlanggar lori ketika perompak berkenaan cuba melarikan diri.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi tadi, tiga lelaki bersenjatakan tukul dan kapak merompak dua pekerja yang membawa kira-kira 10 kilogram emas dari kilang terbabit ke dalam sebuah van.

Menurut sumber polis, emas yang sudah siap diproses termasuk dalam bentuk jongkong itu dipercayai untuk dihantar ke beberapa buah kedai di ibu negara.

Dalam kejadian itu, pengawal keselamatan kilang terbabit melepaskan sekurang-kurangnya tiga das tembakan ke arah kereta suspek yang terkena pada bahagian cermin sisi. – MalaysiaGazette