Home Utama Polis serah laporan siasatan kebakaran pusat tahfiz ke Peguam Negara

Polis serah laporan siasatan kebakaran pusat tahfiz ke Peguam Negara

Anggota Bomba dan Penyelamat Unit Forensik melakukan pemeriksaan berikutan kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2017.
KUALA TERENGGANU – Laporan siasatan polis berhubung kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, Kampung Dato’ Keramat, Kuala Lumpur, sudah diserahkan kepada pejabat Peguam Negara pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Ahmad Najmuddin Mohd berkata laporan yang dimajukan untuk tindakan pendakwa raya itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

“Jadi kita tunggu arahan dari pejabat Peguam Negara apa bentuk tindakan pertuduhan ke atas pihak yang terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya kepada pemberita dalam sesi lawatan kerja ke Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Huzir Mohamed dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.

Dalam kejadian pada pukul 5.15 pagi 14 Sept itu, 21 pelajar dan dua tenaga pengajar pusat tahfiz berkenaan terkorban.

Susulan kejadian itu polis menahan tujuh remaja berusia antara 11 hingga 18 tahun yang disyaki mendalangi perbuatan itu kurang 48 jam selepas kejadian.

Polis mengesahkan kebakaran tersebut dilakukan oleh suspek atas motif balas dendam.

— BERNAMA