GELANG PATAH – Malaysia berharap sistem BioSkrin yang diperkenalkan Singapura menerusi pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas di republik itu tidak akan menimbulkan permasalahan kepada pengguna jalan raya di negara ini.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sistem yang diperkenalkan itu juga diharap mudah dan senang diakses oleh orang awam sekali gus tidak menyebabkan kesesakan lalu lintas.
“Ia sistem yang digunakan oleh Singapura. Bagi kita, kita akan memperkenalkan RFID (tag pengenal frekuensi), kita juga ada sistem bagi memastikan keselamatan dalam negara kita, kenderaan yang masuk perlu mempunyai RFID dan perlu bayar caj jalan.
“Apa juga polisi diperkenalkan Singapura, kita harap ia tidak membuatkan pengguna kesesakan dan kesusahan tapi ia sepatutnya memberi keselesaan dan mudah untuk diakses orang awam,” katanya selepas merasmikan Alibaba Global Course di Forest City di sini hari ini.
Bernama melaporkan semalam, Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA) akan memperluas secara progresif percubaan sistem BioSkrin untuk pelawat berkereta yang tiba dan berlepas menerusi pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands.
Dalam satu kenyataan, ICA berkata sistem BioSkrin itu akan mengimbas cap ibu jari pelawat yang tiba dan berlepas dari pusat pemeriksaan republik itu.
Dilancarkan pada April 2016, ICA berkata sistem itu telah dilaksanakan di beberapa zon pemeriksaan di pusat pemeriksaan darat Singapura seperti untuk pengembara kereta api dan bas, dan lori serta kenderaan barang.
ICA menyatakan ia akan melakukan pemeriksaan BioSkrin untuk pelawat berkereta berusia enam tahun dan ke atas, pemandu dan penumpang perlu keluar dari kereta dan mengimbas kedua-dua cap ibu jari bila mereka menjalani pemeriksaan imigresen. – MalaysiaGazette