MOSCOW – Pasangan suami isteri ditahan selepas mengakui terlibat dalam 30 pembunuhan di barat daya bandar Krasnodar, Rusia.
Dmitry Baksheev, 35, dan isterinya Natalia, dilaporkan ditangkap selepas satu badan manusia yang dipotong ditemui di pangkalan tentera, berhampiran tempat tinggal mereka.
Tubuh manusia itu disahkan milik seorang wanita berusia 35 tahun. Turut ditemui adalah beg milik mangsa.
Polis juga mengesahkan sejumlah makanan dan daging yang ditemui di dalam rumah pasangan itu mempunyai DNA manusia.
Awal bulan ini, sebuah telefon bimbit ditemui di jalan raya oleh pekerja-pekerja pembinaan dengan yang menyimpan imej-imej tubuh manusia yang dipotong.
Salah satu gambar yang ditemui dan diterbitkan oleh media Rusia menunjukkan Baksheev bergambar dengan sebahagian tubuh manusia yang dipotong dalam mulutnya.
Kementerian Dalam Negeri Rusia mengesahkan tangkapan lelaki dalam imej tersebut.
Pasangan itu dikatakan masih menetap di asrama tempat pembinaan tersebut kerana pernah bekerja di situ.
Dalam satu kenyataan, Jawatankuasa Penyiasatan Wilayah Krasnodar mengesahkan semasa serbuan di rumah pasangan itu, ‘serpihan makanan dan potongan daging beku tidak diketahui asalnya telah dirampas di dapur.
Mereka mengesahkan ujian forensik sedang dilakukan untuk menentukan sama ada barangan itu adalah manusia atau haiwan.
Media Rusia melaporkan bahawa gambar-gambar yang dijumpai dicetak di apartmen dan pada telefon bimbit, mencadangkan pembunuhan itu boleh berlaku sejak hampir dua dekad.
Satu gambar bertarikh 28 Disember 1999 menunjukkan kepala manusia yang diletakkan di atas pinggan hidangan dengan buah.
Polis mengesahkan pasangan itu masih dalam tahanan atas tuduhan pembunuhan sementara siasatan lanjut serta ujian biologi diteruskan. – MalaysiaGazette