Home Politik Permohonan pendaftaran Pekira masih dalam tapisan ROS

Permohonan pendaftaran Pekira masih dalam tapisan ROS

Logo Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (PEKIRA)

KUALA LUMPUR – Permohonan pendaftaran Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) sebagai sebuah parti politik masih belum boleh diluluskan kerana perlu menjalani tapisan keselamatan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Datuk Mohammad Razin Abdullah.

Beliau berkata itu adalah prosedur operasi standard pihaknya dalam memberi pertimbangan dan membuat keputusan kepada mana-mana pihak yang ingin mendaftarkan parti politik.

“Kami masih meneliti permohonan itu dan perlu melengkapkan beberapa prosedur teknikal berkaitan pendaftaran parti tersebut ketika ini.

“Ada dua tiga langkah lagi yang kami perlu selesaikan. Kami tiada tempoh masa untuk memberi kelulusan cuma parti-parti politik ini perlu ada tapisan keselamatan. Apabila telah lengkap, barulah kamia proses permohonan mereka ke peringkat pertimbangan dan keputusan,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau mengulas mengenai status permohonan pendaftaran Pekira yang dibuat Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah yang mendakwa telah menghantar permohonan sejak Mei tahun ini namun tidak menerima sebarang keputusan sehingga kini.

Mohd Ridzuan mendakwa keanggotaan parti itu telah mencecah 16,000 orang sejak dilancarkan dua bulan lepas.

Pekira, parti mesra Barisan Nasional (BN), ditubuhkan untuk memperjuang nasib usahawan, peniaga kecil dan menyelesaikan masalah rakyat.- BERNAMA