Home Nasional Peguam kesal Anwar lambat dirawat di HKL selepas kemalangan

Peguam kesal Anwar lambat dirawat di HKL selepas kemalangan

Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Peguam-peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kesal apabila anak guamnya hanya diberi suntikan dan ubat penahan sakit susulan kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan Jabatan Penjara tempoh hari.

Sivarasa Rasiah, N.Surendran dan Latheefa Koya dalam satu kenyataan bersama hari ini mendakwa kemalangan itu menjejaskan kesihatan Anwar di mana bahu kanan, leher dan pinggang cedera.

Mereka mendakwa, Datuk Dr. Jeyaindran, doktor yang ditugaskan Menteri Kesihatan untuk mengawasi keperluan perubatan anak guamnya gagal memberi arahan supaya Anwar diberi rawatan perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Hanya selepas tiga hari, selepas Anwar mengalami kesakitan yang teruk dan ketidakselesaan, barulah beliau dibawa ke HKL.

“Kami amat terkejut dengan kelewatan yang tidak patut dan tanpa penjelasan, mungkin telah menyebabkan kesihatan anak guam kami bertambah teruk,” katanya mereka dalam satu kenyataan.

Pada 22 September lalu, kenderaan Jabatan Penjara yang membawa Anwar dari HKL ke Penjara Sungai Buloh telah terlibat di dalam satu kemalangan jalan raya.

Berikutan kelewatan doktor merujuk Anwar ke HKL, peguam-peguam Anwar telah menulis kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam untuk meminta penjelasan.

“Rawatan perubatan yang berpatutan adalah hak setiap banduan. Kami telah menulis kepada Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kesihatan untuk mendapatkan penjelasan di atas kegagalan yang tidak boleh dimaafkan ini,” katanya mereka lagi. – MalaysiaGazette