JITRA – Pihak penguat kuasa di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam diingatkan agar tidak sesekali berkompromi dengan isu keselamatan berikutan pintu sempadan itu kini dibuka 20 jam sehari.
Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata, peningkatan kawalan diperlukan kerana dikhuatiri ancaman seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia dan jenayah rentas sempadan menjadi berleluasa susulan pelaksanaan langkah tersebut sejak awal bulan ini.
Bagaimanapun kata beliau, kementeriannya berpandangan belum ada keperluan untuk menambah pasukan tentera bagi mengawal sempadan negara.
“Ini kerana sudah terdapat 4,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia yang bertugas mengawal keselamatan di pintu-pintu sempadan negara,” kata Anggota Parlimen Kubang Pasu itu yang ditemui selepas program ‘Kubang Pasu Friday Night Ride 2017’, di sini Jumaat malam.
Tempoh operasi pintu sempadan Bukit Kayu Hitam dilanjutkan daripada 18 jam kepada 20 jam bermula 3 Sept lalu dan dijangka beroperasi 24 jam bermula 1 Jan tahun depan.
Mengenai program kayuhan tersebut, Mohd Johari berkata seramai 600 anggota kelab berbasikal dari seluruh Kedah mengikuti program tersebut yang bertujuan menonjolkan tempat menarik di Kubang Pasu. – MalaysiaGazette