Home Nasional Dera bukan budaya tentera, SOP ditambah baik

Dera bukan budaya tentera, SOP ditambah baik

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kanan) bercakap pada sidang media sambil ditemani Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun (kiri) pada Sambutan Hari Pahlawan 2017 di Dataran Pahawan, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 02 OKTOBER 2017

PUTRAJAYA – Prosedur Operasi Standard (SOP) penahanan anggota yang sedang digunapakai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan ditambah baik pada masa akan datang.

Penglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, penambahbaikan itu akan melibatkan tentera udara, darat dan laut sebagai menghalang sebarang insiden penderaan dalam kem tahanan berulang.

“Sekiranya ada kekurangan yang perlu ditangani segera, kita akan perkemaskan SOP yang digunapakai.

“Lagi pun mendera bukan sebahagian daripada budaya (tentera) kami, Apa yang saya boleh katakan di sini ialah ia hanya kes terpencil.

“Jika ia disifatkan sebagai perbuatan berunsur budaya, hampir setiap hari kita akan menerima kes penderaan.

“Saya rasa kali terakhir kes seumpama dilaporkan ialah lima hingga 10 tahun lalu di Sungai Besi,” katanya kepada pemberita pada Istiadat Sambutan Hari Pahlawan 2017 di Dataran Pahlawan Putrajaya hari ini.

Baru-baru ini dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang disahkan sihat sebelum telah meninggal dipercayai didera di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, di Ipoh, Perak Jumaat lalu.

Bedah siasat Jabatan Patalogi Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh ke atas kedua-dua mangsa mendapati berlaku kes penderaan yang mendatangkan kecederaan.

Bedah siasat ke atas Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, mendapati kematian berpunca pendarahan paru-paru akibat manakala bedah siasat ke atas Muhammad Lailal Tuiman Mohd. Sukri, 26, mendapati meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru.

Polis Perak juga mengesahkan kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan telah menahan tiga suspek berusia antara 29 tahun hingga 44 tahun selain merakam percakapan lapan tahanan di lokasi kejadian turut merampas set CCTV, tujuh T Baton, sebuah buku log SOP (perintah tetap bilik tahanan unit Sungai Wangi) dan beberapa telefon bimbit.

ATM dalam satu kenyataan selepas kejadian berkata, kedua-dua mangsa meninggal dunia semasa menjalani latihan fizikal di kem berkenaan apabila mengadu mengalami kepenatan sebelum direhatkan lalu muntah dan sesak nafas.

Dalam kes berkaitan, Raja Mohamed Affandi juga berkata, pihaknya menyerahkan kes berkenaan disiasat sepenuhnya oleh polis.

“Biarlah polis mengendalikan kes ini dan kita akan membantu polis menyediakan apa jua maklumat yang diperlukan dalam kes ini.

“SOP memang sudah diguna pakai di situ, tidak mungkin ada pegawai yang tidak mematuhi SOP itu, itulah isunya di sini yang tentera dan polis sedang teliti,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pula berkata, terlalu awal untuk pihaknya membuat sebarang keputusan dan kes berkenaan sedang disiasat daripada semua aspek. – MalaysiaGazette