Home Utama Kenang jasa pahlawan negara sepanjang masa – PM

Kenang jasa pahlawan negara sepanjang masa – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan bekas anggota-anggota pasukan keselamatan pada Sambutan Hari Pahlawan 2017 di Dataran Pahlawan, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 02 Oktober 2017.
PUTRAJAYA – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan aset penting yang berperanan besar menjaga keselamatan dan keamanan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, tanpa pengorbanan anggota keselamatan, negara tidak mungkin mencapai keamanan dan kemakmuran seperti yang dikecapi sekarang.
Katanya, setiap tahun negara menyambut Hari Pahlawan lazimnya pada 31 Julai sebagai mengenang dan mengiktiraf budi, jasa dan pengorbanan mereka mempertahankan negara.
“Pengorbanan mereka semenjak menangani serangan komunis dan darurat 1969 sehinggalah insiden di Lahat Datu, Sabah pada tahun 2013 semuanya demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara masih segar dalam ingatan kitaa dan disanjungi.
“Kalau difikirkan secara mendalam, bukan sahaja sehari (alam) setahun, kita patut mengenang jasa pasukan keselamatan hampir setiap hari sepanjang tahun.
“Tanpa keselamatan negara, rakyat dan negara tak mungkin terus berjaya dan hidup makmur, sebaliknya segala impian pasti sudah berkecai dan mereka yang tersayang akan jadi mangsa tanpa keamanan,” katanya dalam ucapan Istiadat Sambutan Hari Pahlawan 2017 di Dataran Pahlawan Putrajaya di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Najib berkata, setiap warga di negara ini mesti menyematkan dalam ingatan kerajaan akan sentiasa menjaga kebajikan dan kesejahteraan anggota keselamatan yang sedang dalan perkhidmatan dan juga veteran.
Katanya, kerajaan juga akan sentiasa mengkaji daripada semasa ke semasa segala kemudahan yang disediakan kepada pasukan keselamatan negara termasuk veteran.
Kerajaan akan kaji semasa ke semasa segala kemudahan yang diberikan kepada pasukan keselamtan sedang khidmat atau veteran, ujar Najib.
“Saya mengajak rakyat supaya menanamkan semangat untuk terus berjuang supaya generasi muda yang dianggap Trabnsformasi Nasional 2050 boleh menjiwai semangat dan roh kepahlawanan selama-lamanya.
“Semoga semua usaha patriotik dan kepahlawanan ini terus diiktiraf senantiasa demi memelihara kemakmuran negara dan meletakkan negara ke tahap lebih tinggi di dunia,” tegasnya.- MalaysiaGazette