KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) memperuntukkan satu peratus daripada dana pelaburan berasaskan teknologi bersaiz lebih RM100 bilion untuk menjana perolehan daripada sektor tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, KWAP berhasrat untuk mengembangkan pelaburan dalam industri teknologi secara beransur-ansur.
Tambahnya, pelaburan dalam sektor berkenaan masih berada di paras bawah satu peratus daripada peruntukan aset.
“Kami cuba untuk menghadkan pelaburan dalam sektor teknologi supaya tidak melebihi satu peratus daripada peruntukan aset.
“Ketika ini, pelaburan tersebut hanya meliputi AS$70 juta (kira-kira RM296 juta) berbanding saiz dana sebanyak lebih RM100 bilion.
“Kami akan meningkatkannya secara beransur-ansur. Apabila tiba peluangnya, kami akan gunakan,” katanya kepada pemberita di Forum Megatrend Khazanah 2017 di sini hari ini.
Menurut beliau, KWAP sedang mencari peneraju-peneraju teknologi tempatan yang mampu berkembang ke luar pasaran domestik.
Katanya, pelaburan KWAP dalam Uber dan dua dana teknologi membolehkannya mengenali industri teknologi dengan lebih dekat.
“Setakat ini kami telah melabur sebanyak AS$70 juta. AS$30 juta dengan Uber manakala baki AS$40 juta dengan dua lagi syarikat dana teknologi.
“Kami boleh melakukannya lagi dan berminat untuk terlibat di dalam industri ini,” katanya lagi.-MalaysiaGazette