Home Nasional Suspek 2 wanita bunuh Jong Nam dihadap ke mahkamah

Suspek 2 wanita bunuh Jong Nam dihadap ke mahkamah

Salah seorang suspek, Siti Aisyah di bawa ke Mahkamah Shah Alam hari ini.- Gambar: Kyodo News

SHAH ALAM – Perbicaraan dua suspek wanita kes pembunuhan Kim Chol atau Kim Jong-Nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Kedua-dua suspek tiba di mahkamah kira-kira jam 8 pagi tadi sambil dengan diiringi lima buah kenderaan polis yang lengkap bersenjata.

Sekitar mahkamah juga dikawal ketat dan hanya beberapa media sahaja dibenarkan masuk untuk mengikuti perbicaraan berkenaan.

Perbicaraan akan didengar di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin. Mahkamah akan merekodkan pengakuan daripada kedua-dua tertuduh.

Perbicaraan dijangka berlangsung selama hampir sebulan dan dijangka pada 10 hari pertama perbicaraan akan mendengar keterangan pakar.

Warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada 1 Mac lalu, Siti Aisyah, dan Thi Huong, didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mereka dituduh terlibat dalam pembunuhan Jong Nam, adik pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu. – MalaysiaGazette